Lepasan IKBN peroleh gaji lebih tinggi

Lepasan IKBN peroleh gaji lebih tinggi



PUTRAJAYA 24 Mei - Kementerian Belia dan Sukan meletakkan sasaran untuk lepasan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) memperoleh gaji permulaan pada kadar 10 peratus lebih tinggi daripada purata yang ditetapkan pasaran kerja.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini, beberapa industri telah pun mengiktiraf tenaga kerja yang dikeluarkan IKBN dengan menawarkan gaji permulaan pada kadar sewajar­nya.
“Ini merupakan satu cabaran buat kami kerana ada beberapa bidang yang telah dapat dilihat pe­ningkatannya dari segi pendapatan dan gaji permulaan tetapi masih ada juga (bidang kerja) yang tidak dinaikkan.
“Ini satu proses jangka masa panjang sebab industri kena melihat produk yang dikeluarkan institut kemahiran awam ini memang layak mendapat gaji permulaan yang lebih tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandata­ngani memorandum persefahaman (MoU) antara kementerian itu dengan Kumpulan DRB-HICOM Bhd. di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar; Ketua Pegawai Eksekutif KL Airport Services Sdn. Bhd. (KLAS), Mohd. Yunus Idris dan Ketua Pegawai Operasi Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM), Shamsuddin Mohamed Yusof.
Menerusi MoU berkenaan, DRB-HICOM akan menyediakan 100 penempatan latihan industri kepada penuntut IKBN dalam bidang kemahiran bersesuaian.
Menerusi kerjasama dengan KLAS yang merupakan anak syarikat Kumpulan DRB-HICOM, sebanyak 30 orang akan dilatih untuk jawatan Pegawai Perkhidmatan Pelanggan, 30 orang untuk jawatan Penolong Perkhidmatan Ramp (RSA) serta lima hingga 10 orang untuk penempatan latihan industri.
Kerjasama dengan satu lagi anak syarikat DRB-HICOM, CTRM pula akan membuka peluang penempatan latihan industri kepada 10 pelajar Kursus Pembaikan Struktur Pesawat di IKBN Pekan selain latihan pendedahan kepada tenaga pengajar IKBN.
Menurut Khairy, beliau me­nyambut baik kerjasama yang diberikan Kumpulan DRB-HICOM untuk merapatkan jurang antara lepasan IKBN dengan pihak industri dan meningkatkan kebolehpasaran lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berkenaan.
“Kita mulakan program transformasi IKBN pada 2014 dengan merombak kurikulum dan me­ngadakan MoU dengan pihak industri untuk memberi nilai tambah.
“Dalam tempoh kurang dua tahun, kita berjaya meningkatkan kebolehpasaran lepasan IKBN (untuk mendapat kerja dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan) daripada 80 peratus kepada lebih 90 peratus,” katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »